Tuesday, July 7, 2009

Keputusan Liga Super 07/07/09


SEPINTAS LALU~~


SELANGOR terus mencengkam persada Liga Super selepas bangkit daripada ketinggalan untuk merakam kemenangan 4-1 ke atas Kuala Muda Naza ketika juara bertahan, Kedah tunjuk taring apabila berpesta jaringan selepas membelasah Polis 7-2, malam tadi. Ketika anak buah K Devan yang ketinggalan di Stadium Shah Alam selepas jaringan Akmal Rizal Rakhli pada minit ke-23, Selangor mengharap ihsan gol sendiri pemain KM Naza, B Rajnikandh minit ke-55 untuk bangkit. Selangor mempergunakan separuh masa kedua untuk mencatat kemenangan dan gol yang ditunggu-tunggu akhirnya muncul pada minit ke-70 hasil jaringan Khairul Anuar Baharom disusuli jaringan Mohd Amri Yahyah (m-80) dan Amirul Hadi Zainal (m-88). Kejayaan ini memastikan Selangor kekal di puncak liga dengan mengumpul 57 mata, manakala Perlis meraih 53 mata.


Di Stadium Darulaman, Kedah bertindak garang membelasah Polis tanpa ihsan menerusi hatrik Khyril Muhymeen minit ke-19,59, 85 dan masing-masing dua daripada Badrol Bakhtiar (m-15,53) dan Azrul Ahmad (m-29,60). Polis menyumbang dua gol menerusi Khairul Izuan (m-2) dan Eddy Gapil (m-23).


Di Stadium Perak, tuan rumah gagal memanfaatkan gol pendahuluan Mohd Shazuan Roslan minit ke-32 apabila membenarkan Nizarudin Omar menyamakan kedudukan minit ke-73, tiga minit selepas masing-masing seorang pemain Perak dan Perlis dibuang padang.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan turut mengganas apabila memastikan kemenangan bergaya menewaskan pasukan yang dilanda kemelut, UPB-MyTeam 6-2. Skuad Wan Jamak Hassan yang minggu lalu diberi amaran selepas kecundang di tangan Johor FC, menjaringkan enam gol pada separuh masa pertama menerusi S Kunalan minit ke-5 dan 14; Mohd Zaquan Adha (m-8, penalti), m-21 dan Shahurain Abu Samah (m-22, m-38). Gol MyTeam dijaringkan Norshahrul Idlan Talaha minit ke-18 sebelum pelawat menambah satu lagi jaringan pada separuh masa kedua hasil gerakan Azmi Muslim (m-74).


Sementara itu, Johor FC mengikat keputusan seri 1-1 dengan KL Plus di Stadium JCorp, Pasir Gudang ketika Pahang mengatasi Terengganu 2-1 manakala perlawanan Pulau Pinang dan Kelantan ditangguhkan akibat hujan pada kedudukan 1-1.

No comments: